Friday, 30 March 2007

.: Penjual tempe :.

Kisah Penjual Tempe

Bacalah....moga menjadi iktibar.

Ada sebuah kampung di pedalaman Tanah Jawa. Disitu ada seorang perempuan tua
yang sangat kuat beribadat. Pekerjaannya ialah membuat tempe dan menjualnya
di pasar setiap hari. Ia merupakan satu-satunya sumber pendapatannya untuk
menyara hidup. Tempe yang dijualnya merupakan tempe yang dibuatnya sendiri.

Pada suatu pagi, seperti biasa, ketika beliau sedang bersiap-siap untuk
pergi menjual tempenya, tiba tiba dia tersedar tempenya yang diperbuat
daripada kacang soya hari itu masih belum menjadi, separuh jadi.Kebiasaannya
tempe beliau telah masak sebelum bertolak. Diperiksanya beberapa bungkusan
yang lain. Ternyatalah kesemuanya belum masak lagi.

Perempuan tua itu berasa amat sedih sebab tempe yang masih belum menjadi
pastinya tidak akan laku dan tiadalah rezekinya pada hari itu. Dalam suasana
hatinya yang sedih, dia yang memang kuat beribadah teringat akan firman
Allah yang menyatakan bahawa Allah dapat melakukan perkara-perkara ajaib, bahawa bagiNya tiada yang mustahil. Lalu diapun mengangkat kedua tangannya sambil berdoa , "Ya Allah , aku memohon kepadaMu agar kacang soya ini menjadi tempe . Amin"

Begitulah doa ringkas yang dipanjatkan dengan sepenuh hatinya. Dia sangat
yakin bahawa Allah pasti mengabulkan doanya. Dengan tenang perempuan tua itu
menekan-nekan bungkusan bakal tempe dengan hujung jarinya dan dia pun
membuka sikit bungkusan itu untuk menyaksikan keajaiban kacang soya itu menjadi tempe . Namun, dia termenung seketika sebab kacang tu masih tetap kacang soya.

Namun dia tidak putus asa, sebaliknya berfikir mungkin doanya kurang jelas
didengar oleh Allah. Maka dia pun mengangkat kedua tangannya semula dan
berdoa lagi.

"Ya Allah, aku tahu bahawa tiada yang mustahil bagiMu. Bantu lah aku supaya
hari ini aku dapat menjual tempe kerana inilah mata pencarianku. Aku mohon
agar jadikanlah kacang soyaku ini kepada tempe ,Amin".

Dengan penuh harapan dan debaran dia pun sekali lagi membuka sedikit
bungkusan tu. Apakah yang terjadi? Dia termangu dan hairan apabila tempenya
masih tetap begitu!! Sementara itu hari pun semakin meninggi sudah tentu
pasar sudah mula didatangi ramai orang. Dia tetap tidak kecewa atas doanya
yang belum terkabul. Walaubagaimanapun kerana keyakinannya yg sangat tinggi
dia bercadang untuk tetap pergi ke pasar membawa barang jualannya itu.
Perempuan tua itu pun berserah pada Tuhan dan meneruskan pemergian ke pasar
sambil berdoa dengan harapan apabila sampai di pasar kesemua tempenya akan
masak.

Dia berfikir mungkin keajaiban Allah akan terjadi semasa perjalanannya ke
pasar. Sebelum keluar dari rumah, dia sempat mengangkat kedua tangannya
untuk berdoa.

"Ya Allah, aku percaya, Engkau akan mengabulkan doaku. Sementara aku
berjalan menuju ke pasar, Engkau kurniakanlah keajaiban ini buatku,
jadikanlah tempe ini. Amin".

Lalu dia pun berangkat di sepanjang perjalanan dia tetap tidak lupa membaca
doa di dalam hatinya. Sesampai sahaja di pasar, segera dia meletakkan
barang-barangnya. Hatinya betul-betul yakin yang tempenya sekarang mesti
sudah menjadi. Dengan hati yg berdebar-debar dia pun membuka bakulnya dan
menekan-nekan dengan jarinya setiap bungkusan tempe yang ada.

Perlahan-lahan dia membuka sedikit daun pembungkusnya dan melihat isinya.
Apa yang terjadi? Tempenya masih belum menjadi!! Dia pun kaget seketika lalu
menarik nafas dalam-dalam. Dalam hatinya sudah mula merasa sedikit kecewa
dan putus asa kepada Allah kerana doanya tidak dikabulkan. Dia berasakan
Tuhan tidak adil. Tuhan tidak kasihan padanya, inilah satu-satunya punca
rezekinya, hasil jualan tempe . Dia akhirnya cuma duduk sahaja tanpa
mempamerkan barang jualannya sebab dia berasakan bahawa tiada orang yang
akan membeli tempe yang baru separuh menjadi.Sementara itu hari pun semakin
petang dan pasar sudah mulai sepi, para pembeli sudah mula kurang.

Dia meninjau-ninjau kawan-kawan sesama penjual tempe, tempe mereka sudah
hampir habis. Dia tertunduk lesu seperti tidak sanggup menghadapi kenyataan
bahawa hari ini tiada hasil jualan yang boleh dibawa pulang. Namun jauh di
sudut hatinya masih menaruh harapan terakhir kepada Allah,
pasti Allah akan menolongnya. Walaupun dia tahu bahawa pada hari itu dia
tidak akan dapat pendapatan langsung, namun dia tetap berdoa buat kali
terakhir, "Ya Allah,berikanlah penyelesaian terbaik terhadap tempeku yang
belum menjadi ini."

Tiba-tiba dia dikejutkan dengan teguran seorang wanita. "Maaf ya, saya ingin
bertanya, Makcik ada tak menjual tempe yang belum menjadi? Dari tadi saya
sudah pusing keliling pasar ini untuk mencarinya tapi masih belum berjumpa
lagi." Dia termenung dan terpinga-pinga seketika. Hatinya
terkejut sebab sejak berpuluh tahun menjual tempe, tidak pernah seorang pun
pelanggannya mencari tempe yang belum menjadi. Sebelum dia menjawab sapaan
wanita di depannya itu, cepat-cepat dia berdoa di dalam hatinya "Ya Allah,
saat ini aku tidak mahu tempe ini menjadi lagi. Biarlah tempe ini seperti
semula, Amin".

Sebelum dia menjawab pertanyaan wanita itu, dia membuka sedikit daun penutup
tempenya. Alangkah seronoknya dia, ternyata memang benar tempenya masih
belum menjadi! Dia pun ra sa gembira dalam hatinya dan bersyukur pada Allah.
Wanita itu pun memborong habis kesemua tempenya yang belum menjadi itu.
Sebelum wanita tu pergi, dia sempat bertanya wanita itu, "Mengapa hendak
membeli tempe yang belum jadi?" Wanita itu menerangkan bahawa anakn ya yang
kini berada di England teringin makan tempe dari desa. Memandangkan tempe
itu akan dikirimkan ke England ,si ibu tadi kenalah membeli tempe yang belum
jadi lagi supaya apabila sampai di England nanti akan menjadi tempe yang sempurna. Kalau dikirimkan tempe yang sudah menjadi, nanti di sana tempe itu sudah tidak elok lagi dan rasanya pun kurang sedap.
Perempuan tua itu pun kehairanan dan berfikir rupa-rupanya doanya sudah pun
dimakbulkan oleh Tuhan...

Moral:

Pertama: Kita sering memaksakan kehendak kita kepada Tuhan sewaktu
berdoa, padahal sebenarnya Tuhan lebih mengetahui apa yang kita perlukan
dan apa yang terbaik untuk diri kita.

Kedua: Sentiasalah berdoa dalam menjalani kehidupan seharian kita
sebagai hambaNya yang lemah. Jangan sekali-kali berputus asa terhadap
apa yang dipinta. Percayalah bahawa Tuhan akan mengabulkan doa kita
sesuai dengan rancanganNya yang mungkin di luar jangkaan kita.

Ketiga : Tiada yang mustahil bagi Tuhan, kita hambaNya yg sungguh daif...

Keempat : Kita sering ingin Allah memenuhi hak kita sedang kita tidak
pernah mahu memenuhi hak Allah seperti menjaga SEMBAHYANG 5 WAKTU
,menyegerakan solat, berkata-kata perkara yang berfaedah dan berpesan ke
arah kebaikan...oleh itu, hantarlah kepada sahabat yang lain agar
kebaikan boleh sama dikongsi. Mudah-mudahan Allah kurniakan ganjaran
pada usaha kita yg tidak seberapa..

___________________________________

a moment of reflection..dat times right now are kinda hard for miself..shud our prayers not be answered, or our ways not shown..remember HE knows best..not me..not u..not us..

Our role is to jus keep praying..n having faith.. :)

No comments: